Proses PDI (Pre Delivery Inspection) Proton diseragamkan


PEMBELI kereta PROTON kini tidak perlu lagi bimbang mengenai tahap tidak konsisten mutu kereta diterima kerana semua kereta nasional itu, sama ada untuk pasaran domestik atau eksport akan melalui proses pemeriksaan pra-penghantaran berpusat seragam.

Pengarah Urusan PROTON Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata proses ketat di Pusat Bagi Logistik, Peruntukan, Penyimpanan dan Perkhidmatan (CLASS) PROTON di Tanjung Malim dan Sijangkang, Klang yang beroperasi sejak sebulan lalu itu memastikan kereta yang diterima pembeli berada dalam keadaan terbaik.

“Sebelum ini, pemeriksaan pra-penghantaran dikendalikan berasingan oleh pengedar tempatan dan luar negara di pusat servis masing-masing sebelum menyerahkan kenderaan kepada pengguna, menyebabkan tidak ada konsisten dari aspek kualiti dan tempoh penghantaran.

“Dengan adanya CLASS, hab itu akan menyeragam proses pemeriksaan pra-penghantaran ke atas semua kenderaan PROTON, sama ada untuk pasaran domestik mahupun eksport, sekali gus menjamin kualiti, selain mempercepatkan tempoh penghantaran kepada pengedar,” katanya pada majlis perasmian hab berpusat CLASS di Sijankang, Klang semalam. Perasmiannya disempurnakan Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syed Zainal berkata, proses CLASS memberikan PROTON kelebihan kerana ia turut membolehkannya mengurangkan pelbagai masalah, termasuk pengendalian berganda sebanyak 40 peratus, mengurangkan tempoh menunggu kepada maksimum tiga hari, mengurangkan kecacatan sekunder dan mengurangkan lebihan inventori.
Bermula April 1, PROTON Edar Sdn Bhd mula memanfaatkan hab logistik berpusat Proton dalam usaha menambah baik rantaian bekalannya. Semua kenderaan daripada kilang pengeluaran di Shah Alam akan dihantar ke Sijangkang bagi pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) dan penyimpanan sebelum dihantar ke pengedar seluruh negara.

Kenderaan dari kilang pemasangan di Tanjung Malim pula akan dihantar ke hab logistik berpusat yang terletak dalam kompaun sama. “Kedua-dua hab itu membolehkan kami mengukuhkan kedudukan di pasaran domestik dan global dengan memusatkan operasi dan perkhidmatan bagi menambah baik keberkesanan penghantaran kenderaan dalam keadaan sebaik mungkin kepada pelanggan,” katanya. Majlis sama turut menyaksikan perjanjian perkhidmatan dimeterai antara PROTON Edar dan Konsortium Logistik Bhd (KLB) bagi menetapkan tahap perkhidmatan dari aspek penyelenggaraan penyimpanan, PDI dan persediaan penghantaran. Syed Zainal berkata, kedua-dua hab di Tanjung Malim dan Sijangka itu membabitkan pelaburan sekitar RM30 juta dengan keupayaan memuatkan 13,000 kereta dalam satu-satu masa.

sumber : Berita Harian
Share this article :

+ comments + 1 comments

Tanpa Nama
11 Mei 2011 12:57 PTG

harap akan ada perubahan.

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger