Proton Perlu Pinjam Wang, Kata Midf Research


KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Proton Holdings Bhd perlu meminjam wang memandangkan perbelanjaan modalnya (capex) dijangka kira-kira RM800 juta hingga RM1 bilion setahun, termasuk untuk Group Lotus dan penyelidikan dan pembangunan tempatan, kata MIDF Research.

Dalam nota kajiannya Khamis, MIDF berkata dana tunai Proton sudah berkurangan kepada RM969.3 juta pada akhir Disember 2010 berbanding RM1.6 bilion pada akhir Mac 2010, yang mencerminkan aliran keluar tunai untuk pelan pemulihan Lotus.

"Jika kita mengandaikan nisbah ekuiti ke atas hutang yang boleh diurus pada tahap 0.3 kali, Proton perlu mengumpul sehingga RM1.6 bilion untuk membiayai perbelanjaan capexnya," kata MIDF.

Laporan menyebut Group Lotus milik Proton 100 peratus akan menandatangani perjanjian pembiayaan bersindiket dengan enam bank yang akan dimuktamadkan esok.

Enam bank pembiaya itu ialah CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd, Oversea-Chinese Banking Corp, Eon Capital Bhd, Exim Bank dan Affin Holdings Bhd.

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengulangi saranan "beli" ke atas saham Proton pada harga sasaran RM5.20 berdasarkan nisbah pendapatan harga lapan kali untuk unjuran pendapatan tahun kewangan 2010 dan nisbah aset tidak ketara bersih/harga sebanyak 0.4 kali.

Ia berkata saham itu mempunyai potensi pulangan sebanyak 55.9 peratus, termasuk pulangan dividen 1.1 peratus, berbanding harga semasa.

MIDF mengunjurkan keuntungan sebelum cukai Proton bagi tahun kewangan 2012 sebanyak RM400.7 juta hasil perolehan sebanyak RM9.521 bilion, manakala tahun ini, unjuran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM299.3 juta atas perolehan RM8.382 bilion.



-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger