PROTON pasang tingkap elektronik


Autov bangun ‘anti-trap’ bagi Persona R

PEMBEKAL sistem tingkap elektronik Tier-1 PROTON, AutoV Corporation Bhd akan membangunkan tingkap elektronik ‘anti-trap’ menggunakan teknologi terkini Continental AG, iaitu pengeluar sistem automotif dari Jerman dan ArvinMeritor yang berpangkalan di Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Tingkap elektronik itu dibangunkan khusus untuk dipasang pada Persona R, iaitu model yang mendapat sentuhan Italdesign-Giugiaro SpA dari Itali yang akan dilancarkan PROTON pada 2012 bagi menggantikan Persona sedia ada.
Bagi tujuan kerjasama pembangunan itu, AutoV semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Continental Automotive Systems (Shanghai) Co Ltd dan ArvinMeritor LVS Co Ltd.

Bercakap pada majlis memeterai MoU itu di Shah Alam, Pengarah Urusan PROTON Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata menerusi MoU itu, Continental Automotive Systems Shanghai akan membekalkan perisian elektronik kepada AutoV untuk digunakan dalam membangunkan tingkap elektronik ‘anti-trap’ itu, manakala motornya akan dibekalkan ArvinMeritor LVS.

“Tingkap elektronik yang akan dihasilkan nanti akan memiliki logik yang mana sejurus mengesan halangan, ia secara automatik dibuka semula dan membenarkan objek dialihkan,” katanya sambil menambah ciri itu kebiasaannya di pasang dalam kenderaan keluarga dan amat berguna bagi melindungi jari kanak-kanak daripada kecederaan.

Syed Zainal berkata, kerjasama itu adalah antara langkah memastikan hanya peralatan berkualiti dipasang pada model PROTON pada masa depan, selaras aspirasi kumpulan menghasilkan kenderaan berkualiti eksport.

ArvinMeritor adalah pengeluar utama selak, regulator dan motor tingkap untuk kenderaan. Ia mempunyai lebih 100 kilang pengeluaran di 24 negara dengan mendapat sokongan teknikal dari Perancis, Jerman, United Kingdom dan AS.
Continental adalah pengeluar utama tayar, sistem brek, sistem keselamatan dan komunikasi dengan kemudahan di AS, Eropah dan Asia dengan disokong 18 kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

AutoV terbabit dalam perniagaan teras antaranya mengeluar, memasang dan membangun sistem regulator tingkap, wiper, washer dan hon.

Ia membekal sistem tingkap elektronik kepada tiga model PROTON iaitu Exora, Persona dan Waja.

Sementara itu, pada majlis semalam AutoV diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Bernard Kong; ArvinMeritor LVS oleh Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Lansing Lin; manakala Continental Automotive Systems Shanghai oleh Naib Presiden Bahagian Badan dan Keselamatannya, Werner Koestler.

sumber : Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger