EV Kereta Masa Depan Terdekat Proton


Gambar Saga EV usahasama Proton-UTM*

KOTA BAHARU, 27 Dis (Bernama) — Sedang syarikat-syarikat pengeluar kereta lain di dunia berlumba-lumba mengeluar kereta jenis hibrid, iaitu kenderaan yang bersifat enjin petrol dan elektrik.

Namun, berbeza dengan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton Holdings Berhad, matlamatnya ialah mengeluarkan kenderaan berenjin elektrik (EV) sepenuhnya.

Ini merupakan satu usaha mengeluarkan kenderaan mesra alam dan menggurangkan kebergantungan terhadap bahan api petrol yang tahap pengeluarannya semasa ini semakin berkurangan serta berharga tinggi.

Pengurus Besar Perancangan Korporatnya, Dr Badrulhisham Mohd Ghazali berkata rekaan kereta EV akan menjadi kenderaan yang pasti berdasarkan beberapa kajian yang telah dibuat oleh Proton.

“Jika kita lihat sekarang, China merupakan negara yang giat membangunkan teknologi EV ini. Antara sebabnya adalah faktor ekonomi dan politik,” katanya kepada Bernama pada Karnival Proton baru-baru ini di sini.

Beliau berkata, disebabkan bilangan penduduk China sekarang ini berjumlah lebih satu bilion, menjadikan negara itu memerlukan sumber tenaga yang lebih bersih dan murah.

Dr Badrulhisham berkata China kini sedang membangun dengan pesat berikutan peralihannya kepada ekonomi dasar pintu terbuka kepada dunia dan langkah itu menjadikan negara itu sebagai antara negara gergasi ekonomi dunia.



Atas faktor ekonomi yang baik, katanya maka pendapatan rakyat mereka juga meningkat, yang menjadikan kuasa membeli mereka turut meningkat.

“Sekaligus, kehendak rakyat untuk memiliki kereta juga meningkat. Ini akan menjadi beban kepada China yang tidak mempunyai sumber petroleum dan permintaan terhadap bahan api itu meningkat setiap masa,” katanya.

Justeru, katanya, keperluan kepada pengangkutan yang menggunakan sumber tenaga alternatif diperlukan dan yang paling efektif dan cepat ialah kenderaan enjin EV.

Beliau berkata, dari segi pembangunan teknologi kenderaan berenjin elektrik, China kini dilihat mendahului Eropah.

“Kalau dulu Eropah merupakan negara peneraju enjin berkuasa EV, sekarang China pesat membangunkan teknologi itu, malahan kini mereka lebih terkehadapan,” katanya.

Atas keperluan itu, Proton juga mengambil langkah yang sama, kerana penduduk rakyat dan keperluan pasaran kini menuju kepada penggunaan EV.


“Kita sedang membangunkan teknologi itu. Pada masa sekarang, sistemnya masih belum stabil.”

“Selain itu, kos untuk bateri juga masih lagi mahal,” katanya.

Namun, Dr Badrilhisham berkata harga untuk petroleum juga akan meningkat apabila sumbernya akan berkurangan.



Justeru, enjin EV adalah satu keperluan pada masa akan datang dan tempohnya tidaklah lama, katanya.

Malahan, beliau berkata teknologi hibrid kini merupakan transisi kepada kepenggunaan EV.

“Jika dilihat kita telah cuba menggunakan Proton MPV Exora untuk model hibrid dan enjin hibrid kita mendapat pengiktirafan dunia apabila memenangi kategori “Best Range Extender Electric Vehicle.”

Bagi cabaran dari Brighton ke London pada November lepas menggunakan Proton Exora di Britain,” katanya.

Katanya Proton menyasarkan untuk memasarkan Proton Exora secara meluas pada 2012.

Beliau berkata enjin hibrid masih mempunyai batasannya iaitu ianya sesuai untuk enjin berkapasiti sederhana, dan juga ianya menggunakan bateri Lithium Ion, yang menjadikan kosnya tinggi serta jangka hayat penggunaannya rendah berbanding petrol.

“Justeru jawapan untuk itu ialah kereta yang menggunakan sepenuhnya EV,” katanya.

– BERNAMA



*Ini adalah Saga EV yang dibangunkan secara usahasama antara Proton & Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama 11 bulan. Seramai 20 orang tenaga kerja yang telah membangunkan projek ini, 10 dari Proton & selebihnya dari UTM yang terdiri dari pensyarah, pelajar serta juruteknik dari Power Electronics and Drives Research Group (PEDG) Energy Research Alliance, yang diketuai oleh Professor Dr Nik Rumzi Nik Idris.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger