DRB-Hicom, Volkswagen AG setuju pasang kenderaan di Pekan

DRB-HICOM Bhd akan mula memasang dan mengeluarkan model terbaru Volkswagen Passat dan Jetta untuk pasaran tempatan menjelang akhir tahun depan menerusi kemudahan pengeluaran automotif miliknya di Pekan, Pahang.

Ia dicapai susulan termeterainya perjanjian perjanjian pelesenan dan pakatan antara DRB-Hicom Bhd dengan Volkswagen AG (VW), pengeluar kereta terbesar Eropah yang berpangkalan di Wolfsburg Jerman, di Kuala Lumpur, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau optimis pakatan strategik antara kedua-dua syarikat memasang dan mengeluarkan kenderaan jenama Jerman itu akan membantu Malaysia menjadi hab automotif di rantau ini.

Katanya, kerjasama yang membabitkan pelaburan permulaan hampir RM1 bilion itu, turut memperlihatkan komitmen dan keyakinan tinggi Volkswagen terhadap persekitaran pelaburan dan perniagaan di Malaysia.

“Kadar kemasukan pelaburan syarikat multinasional yang disegani ke dalam pasaran Malaysia menunjukkan bertambahnya keyakinan pelabur asing dalam ekonomi negara yang sentiasa mengetengahkan dasar mesra pelabur,” katanya ketika berucap sebelum menyaksikan majlis memeterai perjanjian berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, DRB-Hicom diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil; sementara itu VW diwakili Ketua Bahagian Jualan China dan Asean, Wei Ming Soh.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Musta-pa Mohamed; Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza; Ke-
tua Pegawai Kewangannya, Datuk Lukman Ibrahim; Ahli Lembaga Pengurusan Jualan
dan Pemasaran VW, Christian Klingler; dan Naib Presiden Kanan Pemasangan Luar Negara VW, Dr Christof Spathelf.

Najib berkata, kemasukan VW yang akan membawa kepakaran dan teknologi termaju kumpulan itu, justeru membantu menambahkan lagi nilai rangkaian industri automotif tempatan.

Menerusi kerjasama itu, dua model Volkswagen yang dipasang DRB-Hicom itu, akan turut dieksport untuk pasaran ASEAN mulai 2013.

Mengulas perkembangan itu, Mohd Khamil berkata, susulan pakatan berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyuntik sejumlah RM1 bilion sebagai pelaburan permulaan.

“Daripada RM1 bilion pelaburan itu, 70 peratus akan dibuat oleh DRB-Hicom, manakala bakinya akan disuntik VW, dengan majoriti pelaburan itu digunakan untuk pemasangan infrastruktur pengeluaran di kemudahan DRB-Hicom di Pekan, manakala selebihnya untuk program latihan dan kawalan kualiti,” katanya.

Sementara itu, Lukman berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan program vendor khusus dalam mengeluarkan komponen tempatan untuk dipasangkan dalam model berkenaan.

“Menerusi program vendor itu, DRB-Hicom dan VW akan membantu vendor tempatan membangun dan mengeluarkan komponen menepati piawaian kualiti, sekali gus berupaya menurunkan dengan ketara harga kereta itu,” katanya sambil menambah pihaknya menyasar mengeluarkan kira-kira 40,000 unit kereta Volkswagen setahun.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger