Syed Abdull Hafiz ke Naza

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Bekas Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua), Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi bagi sebuah syarikat baru milik Kumpulan Naza.

Pelantikan beliau itu menamatkan spekulasi di kalangan pemain industri yang dapat menghidu kemunculan semula bekas orang nombor satu Perodua itu.

Syed Abdull Hafiz telah memulakan hari pertamanya di anak syarikat Kumpulan Naza itu berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Syed Hisham Syed Wazir yang meletakkan jawatan selepas menerajui syarikat itu dan Naza Kia Services Sdn. Bhd., sejak Disember 2009.

Syed Hisham akan menjawat jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif di UMW Toyota bermula Oktober ini.

Utusan Malaysia difahamkan syarikat baru yang diterajui Syed Abdull Hafiz itu akan menggantikan Naza Kia Sdn. Bhd., yang kini sedang bergelut dengan masalah dalaman.

Naza Kia adalah pengedar rasmi bagi kenderaan Kia Motors di Malaysia.

Menurut sumber itu, sekiranya masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, ia dikhuatiri menjejaskan syarikat konglomerat automotif tempatan itu.

Malah, dalam laporan akhbar baru-baru ini, Kumpulan Naza kini sedang bersaing dengan Indonesia dan Vietnam bagi mengekalkan pengeluaran Kia di negara ini.

Dikhabarkan, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan pasukannya sedang berusaha mengekalkan pengeluaran kenderaan Kia meskipun berdepan dengan pelbagai tawaran menarik dari dua buah negara itu kepada prinsipal Kia Motors di Korea.

Difahamkan tawaran kepada Syed Abdull Hafiz itu dibuat oleh SM Nasarudin ketika beliau turut serta bersama delegasi perniagaan di Korea baru-baru ini.

Kebolehan dan kepakaran Syed Abdull Hafiz kini ditagih dengan mengambil kira kecemerlangannya di Perodua dan menaruh harapan beliau dapat menangani masalah yang dihadapi Naza Kia.

Kecemerlangannya di Perodua dengan menjadikan model MyVi sebagai model paling laris untuk beberapa tahun berturut-turut telah meletakkan kewibawaan syarikat tersebut setanding dengan syarikat automotif asing.

Dengan kemasukan Syed Abdull Hafiz ke dalam Kumpulan Naza beliau diminta untuk memfokuskan kepada model-model baru Kia bagi meningkatkan penguasaan jenama tersebut di negara ini.

Antara model-model terbaru yang akan dipasarkan ialah Kia Soul, Kia Optima, Kia Sorento dan Kia Sportage yang berwajah baru, selain Kia Forte yang dijual ketika ini.

Pemerhati industri automotif negara tidak menolak pelantikan Syed Hafiz bersandarkan penglibatan aktifnya sebagai 'orang besar' dalam Dewan Perniagaan dan Perdagangan Malaysia- Korea.

Utusan Malaysia diberitahu, penubuhan syarikat baru itu kini dalam proses dan ia akan menggantikan sepenuhnya operasi dan peranan Naza Kia.

info : utusan online
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger