Lotus Racing Kini dikenali Team Lotus dan sah Milik Malaysia



PASUKAN Lotus Racing mencapai kemuncak penubuhannya apabila secara rasmi mengumumkan pengambilalihan sepenuhnya Team Lotus Venturess Ltd, pemegang hak sukan permotoran Lotus.

Prinsipal pasukan, Datuk Seri Tony Fernandes pada sidang akhbar khas di Singapura menjelang Grand Prix Singapura hujung minggu ini, berkata secara rasmi pasukan ini akan dikenali sebagai Pasukan Lotus (Team Lotus) bermula musim Formula Satu (F1) tahun depan.

"Selepas setahun kita berlumba, pada hari ini saya mengumumkan pasukan ini akan dikenali sebagai Pasukan Lotus bagi mengembalikan status dan meneruskan kegemilangan yang pernah diraih pasukan ini.

"Saya, Kamaruddin (Datuk Kamaruddin Meranum) dan Nasa (SM Nasarudin SM Nasimuddin) berjaya menamatkan transaksi pembelian itu dan sah kini, pasukan ini diurus dan dikendalikan sepenuhnya rakyat Malaysia," katanya.

Tony berkata, ia menjadi satu lagi detik gemilang buat pasukan Malaysia dalam saingan F1 kerana tidak lagi berada di bawah telunjuk mana-mana pihak seperti sebelum ini.

Pada masa sama, dia turut berharap, kejayaan transaksi ini dapat menamatkan segala masalah yang timbul berkaitan isu hak milik tanda niaga Lotus.

"Saya tidak menjangkakan akan timbul masalah kerana apa yang kami miliki kini adalah seratus peratus pasukan Lotus yang terbabit dalam sukan permotoran," katanya.

Pemilik asal pasukan Team Lotus, David Hunt, yang turut hadir pada sidang media itu semalam berkata, dia kini lega dapat menyerahkan bebanan meneruskan legasi keluarga David Chapman kepada pasukan yang sudah membuktikan kesungguhan dan kemampuan mereka.

"Saya berharap Team Lotus akan meraih kemenangan GP yang ke-80 tidak lama lagi bersama dengan pengurusan baru ini," katanya yang akan turut bekerjasama membantu pasukan ini.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger