Kenderaan Tata kembali?


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kumpulan Naza Sdn. Bhd., kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk memperoleh francais pengedaran kenderaan komersial Tata Motors di negara ini.

Sekiranya menjadi kenyataan, ia merupakan cabang perniagaan baru bagi Kumpulan Naza.

Menurut sumber industri, dipercayai Kumpulan Naza sedang berbincang untuk mendapatkan hak pengedaran bagi membawa masuk kenderaan komersial seperti bas daripada syarikat yang berpangkalan di India itu.

Francais bagi kenderaan Tata Motors sebelum ini dipegang oleh anak syarikat DRB-Hicom Bhd., Scott & English (M) Sdn. Bhd., yang mana perjanjian antara kedua syarikat itu telah tamat pada pertengahan 2008.

"Sejak tamatnya kontrak pengedaran tersebut, semua kenderaan yang dikeluarkan oleh Tata Motors tidak lagi dijual dan syarikat dari India itu dikatakan sedang mencari rakan kongsi baru untuk perniagaannnya di Malaysia,'' kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dipercayai Tata Motors sedang mencari rakan kongsi yang boleh membawa jenama tersebut ke satu peringkat yang lebih tinggi di negara ini dan Kumpulan Naza dipercayai menjadi salah satu pilihan utama untuk mendapatkan francais tersebut.

Sumber itu berkata, jika kontrak francais itu diberikan kepada Kumpulan Naza berkemungkinan besar konglomerat tempatan itu akan menggunakan kemudahan kilangnya di Gurun, Kedah bagi memasang kenderaan komersial itu.

''Kumpulan Naza amat dikenali dalam pasaran kenderaan penumpang dengan memiliki keupayaan besar di dalam pengagihan pelbagai jenis kenderaan dan tidak menjadi masalah jika kumpulan tersebut mahu menceburi diri dalam perniagaan baru ini,'' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin ketika dihubungi enggan mendedahkan sebarang maklumat lanjut tentang hak pengedaran tersebut berikutan masih berada dalam peringkat perbincangan.

Namun bagi pemain industri, melihat kepada kebolehan Kumpulan Naza mengedar kereta penumpang dan pembabitan di dalam perniagaan lain ketika ini, keupayaan syarikat tersebut untuk mendapatkan hak francais dari Tata Motors merupakan sesuatu yang menakjubkan.

Ini kerana pembabitan di dalam bidang komersial dilihat jauh menyimpang dari apa yang sedang dilakukan ketika ini yang lebih kepada kenderaan penumpang.

Namun berdasarkan kepada kredibiliti SM Nasarudin mendapatkan hak francais itu akan memberi dimensi baru perniagaan kepada syarikat tempatan tersebut.

Pemain industri melihat, keberanian menceburi bidang perniagaan baru bukan sesuatu yang mudah namun bagi anak muda berusia 27 tahun ini mendapatkan hak francais itu akan menambah lagi portfolio perniagaan di bawah Kumpulan Naza.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger