Proton Yakin Model Barunya Akan Tingkatkan Jualan


SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama)-- Proton Holdings Bhd yakin model baharu yang akan menggantikan Waja dan model "facelift" yang bakal dilancarkan pada bulan Disember akan meningkatkan jualannya pada tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata model faceliftnya yang baharunya akan diperkenalkan semasa Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 yang akan diadakan pada awal bulan Disember.

"Model-model ini akan memberi perubahan yang bakal meningkatkan jualan pada tahun ini," kata Syed Zainal Abidin kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan dan kesihatan di jalan raya dan tempat kerja di sini pada Rabu.

"Bagi model baharu, pelancaran tidak rasmi akan diadakan selepas hari raya, kita telah buat pengeluaran ujian, kita pun sudah membuat ujian di jalan raya dan juga di kilang-kilang," kata Syed Zainal Abidin.

Apabila ditanya model facelift yang bakal dilancarkan, beliau enggan menamakan model tersebut.

"Biarlah model Facelift itu menjadi debaran tetapi saya boleh memberitahu anda ia adalah salah satu model kereta popular kami dan daripada apa yang telah saya lihat pada facelift itu, ia memberikan gambaran yang lebih baik terhadap kereta sedia ada," katanya.

Katanya proton turut menyasar jualan 170,000 unit bagi semua modelnya menjelang tahun kewangan 2010-2011.

"Setakat ini, kami berada pada landasan dan kami berharap kedua-dua model akan memberikan momentum kepada kami dan kami sentiasa menawarkan harga yang berdaya saing bagi model Proton," katanya.

Pada Isnin, Proton melaporkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi iaitu RM104.647 juta bagi suku pertama tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2010 daripada RM64.379 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Prestasi menggalakkan itu didorong oleh penjualan kenderaan yang meningkat dan margin keuntungan yang lebih baik daripada kepelbagaian produk yang lebih baik.

Bagi meningkatkan jualannya, Proton juga sedang berbincang dengan lima buah bank bagi memberi pakej yang lebih baik kepada pelanggan, vendor dan para pengedarnya.

"Kami sedang berusaha dengan syarikat kewangan untuk menawarkan pakej pembiayaan lebih baik yang termasuk tempoh pembayaran dan kadar faedah," katanya.

Proton menjangka menawarkan opsyen yang lebih fleksibel dan kadar faedah lebih baik berbanding dengan kadar semasa 4.2 peratus, katanya lagi.

sumber: BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger