Proton peruntuk RM6.7b beli komponen


SHAH ALAM 10 Ogos - Proton Holdings Bhd. (Proton) membelanjakan RM6.7 bilion pada tahun kewangan semasa untuk membeli komponen dan peralatan dari vendor-vendornya bagi dipasang pada kereta keluarannya.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pembelian komponen dan peralatan dari vendor-vendor yang berdaftar dengan Proton itu merupakan sebahagian daripada program pembangunan antara kedua-dua pihak.

Katanya, pembelian peralatan dan komponen bukan hanya tertumpu kepada vendor-vendor tempatan tetapi pembelian juga melibatkan vendor-vendor antarabangsa.

"Ketika ini Proton memiliki 270 vendor yang bernaung di bawah Persatuan Vendor Proton (PVA) dan kami saling bekerjasama di dalam membangunkan setiap model yang dikeluarkan bagi menjamin tahap kepuasan dan kualiti yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian pembiayaan rantaian bekalan antara CIMB dan Proton di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Pembiayaan rantaian pembekalan itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembiayaan sebelum penghantaran dan pembiayaan selepas penghantaran.

Menerusi pembiayaan sebelum penghantaran, vendor Proton kini boleh menikmati pembiayaan berasaskan nilai tempahan bulanan untuk membayar kos bahan mentah mereka.

Manakala bagi pembiayaan selepas penghantaran pula, pembiayaan akan dibayar selepas penyerahan invois dan dokumen berkaitan kepada Proton.

Selepas tarikh matang invois tersebut, Proton akan membayar kepada CIMB bagi menyelesaikan pembiayaan yang dikeluarkan oleh bank bagi kegunaan vendor.

Menurut Syed Zainal Abidin, pembiayaan ini sememangnya dialu-alukan bagi membantu para vendornya memiliki kecairan modal yang tinggi berikutan Proton mengeluarkan 850 buah kereta sehari.

Keperluan komponen dan peralatan yang berkualiti sememangnya diperlukan apatah lagi beberapa model baru akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, sebuah model baru gantian Proton Waja akan diperkenalkan November ini manakala sebuah model berenjin turbo akan diperkenalkan tahun depan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelaburan dan Korporat CIMB Group, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, pihaknya menyediakan RM100 juta bagi dana permulaan untuk program pembiayaan rantaian bekalan kepada para vendor Perodua yang membolehkan mereka meningkatkan kecairan modal perniagaan.

Bagaimanapun katanya, penyediaan dana itu boleh ditingkatkan, bergantung kepada permintaan.

"Pembiayaan ini merupakan yang kedua selepas kerjasama dengan Perodua yang dilakukan pada minggu lalu," katanya.

Katanya, CIMB menawarkan margin yang kompetitif dengan kadar yang rendah menerusi konsep pembiayaan Islam iaitu Murabahah dan Bai al-Dyn.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger