PROTON, PERODUA tingkat daya saing


PROTON Holdings Bhd (PROTON) sedang menjalankan kajian daya maju mengenai prospek mengadakan pakatan strategik dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bagi meningkatkan daya saing industri automotif negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kajian itu antara lain turut membabitkan cara kedua-dua pengeluar kereta nasional itu bekerjasama memenuhi agenda nasional iaitu meningkatkan sumbangan terhadap ekonomi negara.

Sebenarnya, penggabungan dalam konteks besar-besaran bukan diputuskan PROTON tetapi kerajaan (menerusi Khazanah Holdings Bhd yang memegang saham terbesar PROTON).
Namun, pada pihak PROTON, kami hanya diminta melaksanakan kajian daya maju dan kami sedang melakukannya.

Persoalannya adalah mengenal pasti lebih banyak lagi bidang yang kami (PROTON dan PERODUA) boleh bekerjasama sebagai sebahagian agenda nasional memastikan kami terus berdaya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus dapat memberi manfaat besar kepada ekosistem (industri automotif) secara keseluruhannya, katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian Program Kewangan Rangkaian Pembekalan dengan CIMB Group, di Shah Alam, semalam.

Pada majlis itu, PROTON diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Azhar Othman; dan Pengarah Bahagian Pemerolehan Kumpulan, Klaus E. Liske; manakala CIMB Group oleh Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Perbankan Pelaburan dan Korporat, Datuk Charon Wardini Mokhzani; dan Ketua Eksekutif CIMB Islamic Bank, Badlisyah Abdul Ghani.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.
Syed Zainal berkata, cadangan kerjasama PROTON dengan PERODUA itu bukan saja perlu dilihat daripada skop global, malah merangkumi skop mikro termasuk mewujudkan pakatan strategik dalam aktiviti jualan.

Saya sudah bercakap dengan Pengarah Urusan PERODUA, Aminar Rashid Salleh dan bersependapat adanya peluang amat luas bagi PROTON dan PERODUA bekerjasama, khususnya menawarkan kadar pembiayaan kenderaan menarik dan kompetitif hanya untuk kereta PROTON dan PERODUA.

Justeru, saya fikir kami perlu melihat jalan terbaik yang boleh membawa keuntungan untuk kedua-dua pihak meskipun PROTON dan PERODUA bersaing dalam pasaran sama, katanya sambil menambah PROTON kini pada peringkat perbincangan positif dengan sebuah institusi perbankan untuk memperkenalkan skim pembiayaan kenderaan dengan kadar faedah menarik tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Syed Zainal membayangkan PROTON akan mengumumkan keputusan kewangan amat baik bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.

Difahamkan, ia dicapai susulan prestasi lebih baik dicatatkan bagi jualan tiga model utama Proton iaitu Saga, Persona dan Exora selain peningkatan memberangsangkan bagi angka eksport.

Mengenai Program Kewangan Rangkaian Pembekalan dengan CIMB Group, Syed Zainal berkata menerusinya, ia menawarkan program pembiayaan rangkaian bekalan berlandaskan Islam lebih RM100 juta khusus untuk meringankan beban aliran tunai dihadapi vendor Proton untuk membeli barang mentah.

sumber : Bharian.com.my
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger