PERODUA sedia bentuk pakatan strategik khusus



Kerjasama dengan PROTON boleh raih untung bersama, tak beri kesan negatif

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersedia membentuk pakatan strategik dengan Proton Holdings Bhd (PROTON) dalam bidang khusus yang boleh menghasilkan keuntungan bersama dan yang tidak memberikan kesan negatif kepada model perniagaan masing-masing.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata antara bidang yang berpotensi bagi kerjasama itu termasuk dalam pengeluaran komponen untuk kereta kompak dan sedan.

“Seperti anda sedia maklum, PERODUA memiliki kepakaran dalam mengeluarkan kenderaan kompak dan kami akan terus menumpu kepada model perniagaan itu.

“Namun, kami merasakan ada ruang dan peluang bagi PERODUA mengukuhkan lagi bidang berkenaan (dalam mengeluarkan kenderaan kompak) yang boleh ditingkatkan lagi menerusi kerjasama strategik,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian Program Kewangan Rangkaian Pembekalan dengan CIMB Group, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, PERODUA diwakili Pengarah Eksekutif PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd, Zainal Abidin Ahmad; manakala CIMB Group oleh Ketua Perbankan Serantau CIMB Investment Bank, KC Kok.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Perbankan Pelaburan dan Korporat CIMB Group, Datuk Charon Wardini Mokhzani; Ketua Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani; dan Pengarah Urusan PERODUA Auto Corporation, Osamu Oaki.
Aminar Rashid berkata, cadangan kerjasama PERODUA dengan PROTON itu adalah dialu-alukan kerana menerusinya ia akan meningkatkan keupayaan dan kewibawaan kedua-dua syarikat dalam industri automotif tempatan dan antarabangsa.

“PERODUA mengalu-alukan cadangan kerjasama itu. Tambahan lagi, PROTON bukan asing bagi PERODUA kerana kami sudah pun ‘mengadakan pakatan’ dengan mereka dengan membekalkan silinder untuk enjin Campro dan CPS Proton, iaitu kira-kira 120,000 unit setahun selain berkongsi rangkaian vendor sama.

“Justeru, sudah semestinya ada bidang yang boleh diketengahkan PERODUA dan PROTON dalam mengadakan pakatan strategik ini,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, setakat ini PERODUA tidak menerima sebarang pertanyaan atau permohonan daripada PRO-
TON mengenai perkara terbabit.

“Kami masih belum menerima sebarang pertanyaan daripada PROTON. Namun, jika ada, ia akan diputuskan oleh pemegang saham dan rakan strategik syarikat sama ada untuk bergabung atau mengadakan pakatan kerjasama,” katanya.

PERODUA yang ditubuhkan pada 1993, adalah syarikat usaha sama Malaysia dan Jepun. Pemegang sahamnya terdiri daripada UMW Corporation Sdn Bhd (38 peratus), MBM Resources Bhd (20 peratus), Daihatsu Motor Co Ltd (20 peratus), PNB Equity Resource Corporation Sdn Bhd (10 peratus), Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd (lima peratus), Mitsui & Co Ltd (4.2 peratus) dan Mitsui & Co (Asia Pacific) Pte Ltd (2.8 peratus).

PROTON pula dikuasai kerajaan menerusi Khazanah Nasional Bhd dengan pegangan 42.7 peratus; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (13.5 peratus) dan Petronas (7.8 peratus).

Mengenai Program Kewangan Rangkaian Pembekalan dengan CIMB Group, Aminar Rashid berkata, ia khusus untuk membantu meringankan beban kewangan 141 vendor yang menjadi pembekal komponen kepada PERODUA.

Katanya, sebagai permulaan, CIMB Group akan memperuntukkan RM100 juta sebagai pinjaman kepada vendor berkenaan yang ditawarkan pada kadar faedah kompetitif bagi membantu mengukuhkan aliran tunai mereka.
sumber : Bharian.com.my Jumaat
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger