Hala Tuju Proton - temubual eksklusif Utusan bersama Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir


"Sekarang kita perlu mentafsirkannya, dua minggu lepas Proton telah membuat pengumuman mengenai kerjasama Proton dengan Lotus dan kami akan memulakannya dan akan mengeluarkan kereta mempunyai imej lebih kurang Emas dalam tempoh kurang dua tahun. Ia merupakan permulaan yang baru kepada Proton."

DI sebalik telahan negatif bahawa Proton akan gagal, sejarah membuktikan bahawa projek pengeluaran kereta nasional yang dimulakan 25 tahun lalu, mampu untuk berkembang.

Setelah menghadapi pelbagai halangan dan rintangan, kereta buatan Proton yang pernah diberikan gelaran ‘kereta tin MILO’ pada satu ketika dahulu, bakal menyaksikan pengeksportannya yang terbesar dalam sejarah pada tahun ini.

‘‘Kami percaya untuk terus berkembang dan maju ke hadapan, kita perlu memasarkan produk ke luar negara. Ini memaksa kami untuk terus berdaya saing terutama untuk bersaing dengan pemain industri global,’’ kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Beliau mengakui bahawa Proton yang sedang meraikan Jubli Perak, masih lagi muda usianya berbanding para pesaing lain tetapi ia bukan bermakna Proton tidak berkeupayaan untuk maju ke hadapan.

Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, MOWARDI MAHMUD dan SARAH NADLIN ROHIM, peneraju Proton itu berkongsi pandangan tentang pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh syarikat pengeluar kereta nasional itu.

UTUSAN: Tahun ini, Proton merayakan ulang tahunnya yang ke-25. Boleh Datuk berkongsi bersama-sama pembaca sejauh mana pencapaian Proton setakat ini?

SYED ZAINAL: Pada usia 25 tahun ini, Proton telah berjaya mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya. Sejarah lampau menyaksikan Proton bermula sebagai sebuah syarikat yang mampu memasang kereta sahaja. Pada masa itu, banyak cakap-cakap nakal atau sinis yang meramalkan Proton tidak akan berjaya memandangkan kami tidak mempunyai kebolehan teknologi dan keupayaan berbanding syarikat automotif lain. Tetapi Alhamdulillah, (kita berada di sini) berkat kegigihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertekad untuk memastikan Malaysia juga memiliki industri automotif sendiri. Dalam usia 25 tahun, Proton terbukti mempunyai kebolehan dan keupayaan bukan sahaja untuk memasang tetapi untuk mereka bentuk dan membina sebuah kereta yang bukan sahaja bagi pasaran tempatan tetapi luar negara juga. Ini hakikat yang tidak boleh disangkal

Pada pendapat Datuk, adakah Proton sudah berada di peringkat yang sepatutnya sebagai sebuah pengeluar kenderaan?

Kalau diikut daripada segi usia 25 tahun berbanding dengan syarikat-syarikat lain, ia masih muda. Saya akui Proton sepatutnya dapat berada pada tahap lebih tinggi tetapi beberapa perkara yang berlaku menyebabkan Proton tidak dapat maju ke hadapan. Kita sebenarnya telah hilang lima tahun (tempoh perkembangan).

Pengalaman lalu telah menyedarkan kita dan kesilapan itu tidak akan diulangi. Proton kini perlu menumpukan kepada kebolehan yang mempunyai daya saing terutama sebagai pengeluar kenderaan untuk pasaran umum. Oleh itu Proton perlu menyediakan kenderaan yang memenuhi kehendak. Alhamdulillah, sekarang Proton mampu memberikan apa yang diinginkan pasaran. Dengan fokus dapat membantu Proton bergerak ke hadapan.

Walaupun, dari segi pengurusan teknologi Proton masih lemah, tetapi dengan usaha dan tekad pekerja-pekerja dan jurutera sedia ada kita telah boleh menggunakan teknologi dari segi enjin, elektronik dan menzahirkannya ke dalam produk kami. Kami mendapatkan teknologi daripada anak syarikat Proton seperti Lotus dan hasilnya telah diakui oleh pelanggan.

Sejauh mana Proton boleh berkembang kalau setakat menjadi ‘jaguh kampung’?

Saya akui dengan hanya menumpukan kepada pasaran tempatan, Proton sukar untuk berjaya kerana pasarannya terlalu kecil. Kita melihat Korea sebagai contoh teladan yang baik dengan produk mereka seperti Kia dan Hyundai telah diiktiraf dunia. Salah satu pemangkin kepada kejayaan itu adalah mereka memilih untuk memasuki pasaran global secara besar-besaran.

Proton percaya untuk terus berkembang dan maju kehadapan, kita perlu memasarkan produk ke luar negara. Ini memaksa kami untuk terus berdaya saing terutama untuk bersaing dengan pemain industri global.

Adakah terdapat syarikat di luar sana yang perkembangan dan pencapaiannya sebanding Proton?

Kita melihat syarikat terdekat adalah dari Korea kerana sebelum ini mereka turut tidak mempunyai kebolehan tetapi kini berada pada tahap boleh dibanggakan. Mereka turut mendapat sokongan dan dorongan daripada kerajaan dan rakyat untuk terus maju. Proton juga turut mendapat kedua-dua sokongan tersebut dan kami berharap dapat berubah pada masa hadapan. Kebanyakan strategi yang dilaksana Proton adalah mengambil contoh Hyundai.

Proton sebelum ini, begitu agresif mengeksport produknya tetapi kemudiannya seakan sepi seketika sebelum kembali hangat. Apa yang berlaku Datuk?

Kita masih agresif. Untuk memasuki pasaran luar kita perlu mempunyai produk mampu menyokong usaha itu. Proton telah mengalami transformasi produk dan kami mempunyai keyakinan untuk berjaya. Sebelum ini, produk keluaran Proton tidak begitu sesuai untuk menembusi pasaran luar. Bagi pasaran China, ASEAN dan Timur Tengah kita telah mengetahui apa yang mereka inginkan dan sekarang kita berjaya mengeluarkan produk tanpa menerima reaksi negatif.

Tempoh selama 25 tahun bukan satu jangka masa yang pendek tetapi apakah yang dicapai oleh Proton?

Banyak kalau mahu dinyatakan pencapaian Proton. Jadi saya nyatakan pencapaian yang dilihat ketara. Pertama, kita mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan enjin kita sendiri di dalam industri automotif, pencapaian ini penting. Keduanya, keupayaan tenaga kerja Proton, sebagai contoh di bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sudah banyak tenaga muda dimiliki yang mampu untuk mengeluarkan kereta sehebat negara lain.

Terdapat pandangan yang membandingkan pencapaian Perodua adalah jauh lebih hebat berbanding Proton biarpun usianya lebih muda.

Saya merupakan individu yang berada di kedua-dua buah syarikat. Ada perbezaan antara kedua-duanya, dari segi struktur syarikat. Perodua adalah rakan kongsi Daihatsu dari dahulu sehingga sekarang. Dari segi teknologi sudah tentu mereka lebih cepat untuk mendapatkannya dan secara berterusan. Sebelum ini, Proton bekerjasama dengan Mitsubishi, peningkatan yang dicapai adalah ketara apabila mengawal penguasaan pasaran dan sebagainya.

Tetapi apabila Mitsubishi keluar daripada mengadakan perkongsian dengan Proton, kami ketika itu berada dalam keadaan kritikal kerana tidak mempunyai teknologi. Beza antara kedua-dua syarikat adalah Proton terpaksa bergerak secara bersendirian. Bagaimanapun, jurang perbezaan antara kedua-duanya adalah semakin berkurang dan saya berharap dalam masa terdekat Proton akan kembali menjadi pilihan dan nombor satu.

Tidak dinafikan, Proton dahulu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, tetapi sekarang mereka mempunyai banyak pilihan. Bagaimana Proton mahu meraih kembali kepercayaan ramai?

Jika ditanya pada pengguna, terdapat dua masalah yang perlu kami tangani. Pertama, produk itu sendiri. Sekarang, orang ramai mempunyai banyak pilihan, lebih arif dan berpengetahuan tentang kereta.

Cara terbaik adalah mengeluarkan kereta seperti mana yang diinginkan, penyelidikan perlu menyeluruh. Dahulu kami mengambil pendekatan Proton menyediakan kereta dan mengharapkan pelanggan akan beli tetapi konsep itu tidak boleh digunakan lagi. pengalaman lalu membukti Proton berjaya mengeluarkan kereta yang memenuhi cita rasa. Semuanya berbalik kepada produk dan bukan hanya jenama semata.

Kedua, langkah terbaik untuk menarik pengguna adalah kualiti servis, kami akui Proton mengalami sedikit masalah tetapi usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan masalah itu. Ini dibuktikan dengan perangkaan yang ada menunjukkan terdapat pengurangan.

Apa yang penting sekarang adalah komunikasi kami dengan semua pihak. Proton juga memberikan latihan kepada jurujual supaya lebih arif terhadap produk. Masalah pusat servis, perkara itu kami terus pantau.

Boleh Datuk buktikan?

Saya merupakan seorang jurutera dan berdasarkan kepada statistik. Melalui data yang kami ada, daripada 100 pembeli kereta Proton, kami hanya menerima tiga aduan.

Daripada segi masalah-masalah yang seringkali diperkatakan sebelum ini seperti tingkap dan sebagainya, Proton telah mengambil pendekatan untuk mengurangkan masalah tersebut.

Selain itu, daripada segi perangkaan, siapakah pembelinya juga menunjukkan perubahan besar. Kalau dahulu 85 peratus pelanggan Proton adalah Melayu dan Cina hanya mewakili peratusan yang sangat kecil. Tetapi, peratusan yang kecil itu berubah meningkat kepada 28 peratus dan pengguna kaum Cina sememangnya amat kritikal berbanding kaum lain. Ini menunjukkan mereka telah mula yakin dengan jenama Proton.

Proton juga diiktiraf sebagai sebuah syarikat yang mencatat peningkatan kualiti paling ketara.

Berdasarkan usaha yang dilakukan untuk membangunkan Proton, bagaimana Datuk tengok kelangsungan syarikat nasional itu dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Saya yakin kita boleh mengeluarkan produk yang memenuhi permintaan di dalam dan luar negara melalui kaedah-kaedah terbaharu, antaranya memahami pasaran dan mentafsirkannya kepada sebuah kereta. Kita pernah berjaya sebelum ini, kenapa tidak boleh mengulanginya sekali lagi.

Keduanya, adalah memahami tentang teknologi sendiri, kita akan bekerjasama dengan Lotus dan syarikat-syarikat lain untuk memahami selok belok mengenai kereta dan sedikit sebanyak dalam hibrid dan elektrik kerana masa hadapan bergantung kepada teknologi baharu.

Tanpa inovasi, syarikat tidak akan maju. Proton telah memulakan perjalanan tersebut, tetapi kita tidak bergerak sendirian.

Ketiganya, kita lihat ke hadapan, kita tidak lagi menganggap Proton sebagai sebuah syarikat tempatan sahaja. Kita akan meningkat jumlah eksport berjumlah lebih 40,000 buah pada tahun ini menjadikannya jumlah terbesar dalam sejarah syarikat. Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kita bukan hanya akan beroperasi di Malaysia, tetapi juga di China, India dan Iran. Apabila sehingga ke tahap itu, barulah kita boleh dikenali sebagai syarikat global. Kejayaan masa depan Proton bergantung kepada komitmen tenaga kerja yang tinggi.

Mampukah Proton bergerak tanpa sokongan kerajaan?

Proton bukan syarikat subsidi. Apa yang kita dapat pada masa ini adalah melalui pelaburan dan kerja keras yang dilakukan Proton selama ini.

Apa yang kita dapat kini adalah terbuka kepada semua syarikat. Insentif hanya akan diberi kepada mereka yang melabur dan ia merupakan polisi di mana-mana negara. Kita hanya menerima insentif bukan subsidi. Malah, hutang yang diterima daripada kerajaan, telah dibayar balik sepenuhnya.

Terdapat banyak dakwaan bahawa Proton tidak mampu bersaing tanpa rakan strategik?

Saya ingin jelaskan bahawa Proton mempunyai rakan strategik, sama ada kecil atau besar. Sebagai contoh, kami telah bekerjasama daripada segi komponen dan sebagainya. Pada tahun ini, Proton bekerjasama dengan Mitsubishi untuk mengeluarkan kereta baru. Rakan strategik tidak semestinya dizahirkan dengan pegangan ekuiti, tetapi ia perlu menyokong syarikat ke hadapan serta visi kerajaan kerana Proton mempunyai amanah sebagai syarikat kebangsaan bukan sahaja memberikan keuntungan kepada pemegang saham.

Proton tidak terdesak untuk mencari rakan strategik kerana tanpanya kami masih boleh beroperasi. Kita tidak sombong, tetapi rakan strategik kami perlu serasi dengan identiti syarikat dan mempunyai keseimbangan antara satu sama lain.

Sejauh mana pula Datuk melihat cadangan kemungkinan penggabungan antara Proton dan Perodua?

Kami menyedari banyak pihak yang memperkatakan tentangnya tetapi banyak perkara yang perlu dikaji dan diteliti.

Proton mengambil sikap terbuka terhadap setiap cadangan tetapi ia perlu memberikan kelebihan kepada kedua-dua syarikat serta lebih kompetitif dan menjadikan syarikat berdaya saing dan terus maju ke hadapan. Kalau boleh diibaratkan, ia seperti hendak meminang kita perlu bercinta kadang kala jadi dan kadang kala tak jadi dan perkahwinan tersebut juga perlu serasi dengan semua pihak.

Proton baru-baru ini telah melancarkan produk terbaharunya Proton Emas di pentas antarabangsa. Apa sebenarnya yang cuba ditonjolkan?

Proton Emas adalah simbol lebih daripada usaha menawarkan produk. Ia merupakan satu mercu tanda yang menunjukkan Proton bersedia untuk berubah daripada segi reka bentuk kereta dengan gambaran berbeza. Selepas Emas ada beberapa kereta yang akan mempunyai reka bentuk berbeza. Kedua, simbol emas adalah teknologi hibrid, kami ingin menunjukkan kepada pelanggan bahawa Proton akan berubah. Kami sedang membuat kajian mendalam mengenai hibrid dan elektrik. Ketiga, ia menunjukkan kami bersedia berada di luar kawasan selesa dengan lebih agresif. Proton Emas lebih kepada memberi mesej yang kami bersedia bergerak ke hadapan.

Sekarang kita perlu mentafsirkannya, dua minggu lepas Proton telah membuat pengumuman mengenai kerjasama Proton dengan Lotus dan kami akan memulakannya dan akan mengeluarkan kereta mempunyai imej lebih kurang Emas dalam tempoh kurang dua tahun. Ia merupakan permulaan yang baru kepada Proton.

Apakah harapan Datuk terhadap Proton?

Saya sangat taksub dan jelas tentang hala tuju yang diinginkan kepada Proton. Sebagai Pengarah Urusan tanggungjawab itu adalah sangat berat kerana membawa bersama harapan negara untuk membawa jenama Proton setanding dengan jenama antarabangsa yang lain.

Tidak dapat dinafikan terdapat banyak halangan untuk memikul tanggungjawab tersebut, tetapi percaya dengan rumusan terbaik serta bekerja dalam satu pasukan hasrat tersebut akan dapat dicapai untuk membawa Proton menjadi jenama antarabangsa. Malah, sekiranya saya tidak lagi di Proton, usaha yang dibuat diteruskan dan kepimpinan berikut diambil daripada kalangan dalaman sendiri.
Share this article :

+ comments + 4 comments

Tanpa Nama
12 Julai 2010 3:13 PTG

gabung je ngan perodua

Tanpa Nama
5 September 2010 3:58 PG

saya harap proton lebih peka kehendak pelanggan yang mahukan kenderaan yang jimat tapi berkuasa ,selamat spt ikut spek eropah,selesa dan harga berpatutan yg mana kita tahu proton jaguh kampung kena tunjuklah belangnya baru tahu mana kereta kampung mana kereta bandar .

Tanpa Nama
9 September 2010 3:39 PTG

proton/lotus emas adalah produk yang membuktikan proton tidak lagi jaguh kampung. tunggu hujung bulan ni dan di klims.

Tanpa Nama
15 Oktober 2010 2:29 PG

xpayah gabung...proton buat jer kereta mcm bentuk perodua..gerenti laku..perodua mmg bukan lg kereta nasional, saham 100% dah dibeli daihatsu/toyota.

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger