Jurutera Perodua hasilkan komponen Daihatsu


KOMPONEN yang dihasilkan jurutera Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) di kilangnya di Sungai Choh dan kini digunakan dalam enjin kereta keluaran Daihatsu di Jepun, Indonesia dan Pakistan akan diperluaskan eksportnya ke pasaran baru seperti India, Sri Lanka dan United Kingdom (UK) dalam tempoh terdekat ini.

Pengarah Urusan Perodua, Aminar Rashid Salleh, berkata sejak penghasilan kepala silinder pada 1996, jurutera Perodua kini membangun dan mereka bentuk beberapa lagi komponen enjin seperti blok silinder; pancarongga; batang engkol dan omboh.
“Ia satu kebanggaan buat kami. Bukan sesuatu yang mudah untuk melepasi piawaian dan spesifikasi ketat ditetapkan Daihatsu Jepun, tetapi hakikatnya komponen yang dibangun dan direka bentuk jurutera kami kini adalah sebahagian daripada enjin pada model Daihatsu Boon yang berada di jalan raya Jepun sejak 2005.

“Pencapaian ini memberi kami keyakinan untuk memasuki lebih banyak pasaran baru seperti India, Sri Lanka dan UK, khususnya bagi segmen kereta kompak,” katanya dalam satu temu bual di Rawang, baru-baru ini.

Aminar Rashid berkata, nilai eksport komponen di hasilkan Perodua mencecah RM24 juta tahun lalu ke tiga negara terbabit.

“Kami meletak sasaran untuk meraih jualan eksport RM50 juta dalam tiga tahun,” katanya.

Mengenai bilakah Perodua mampu menghasilkan keseluruhan enjin, beliau berkata buat masa ini perkara yang amat sukar untuk dikuasai pembuatannya ialah yang membabitkan komponen berkeji-tuan dan berteknologi tinggi yang masih lagi perlu diimport dari Jepun.
Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan komponen tempatan pada kereta yang dipasang Perodua di Sungai Choh adalah tinggi iaitu kira-kira 95 peratus bagi model Alza dan 80 peratus hingga 85 peratus bagi Viva dan MyVi.

Perodua, katanya membeli komponen daripada vendor tempatan bernilai RM3 bilion bagi tempoh 2008-2009 dan ia dijangka meningkat kepada RM3.8 juta tahun ini.

Mengenai rancangan sepanjang tahun ini, Aminar Rashid berkata Perodua tidak bercadang memperkenalkan model baru, sebaliknya akan menaik taraf model sedia ada.

Maklum balas diterima Perodua oleh masyarakat umum berhubung model sedia ada, katanya ialah mereka mahukan ruang yang lebih luas, port USB, bluetooth, ciri keselamatan lebih tinggi, lebih banyak pilihan pada warna dan fabrik.

“Kami menimbang semua aspek berkenaan... tetapi harga adalah sesuatu yang sensitif,” katanya.
Share this article :

+ comments + 1 comments

22 Oktober 2010 3:59 PTG

bodoh bluetooth xbole guna

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger