KBS cadang bina institusi khusus pemotoran


KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang menjalinkan kerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi membina sebuah institusi pendidikan yang mengkhusus kepada sukan pemotoran.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan tersebut akan cuba diusulkan oleh kementeriannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

''Saya sendiri telah meminta kementerian saya untuk berbincang dengan SIC mengenai kemungkinan untuk kita membina sebuah pusat latihan belia di bawah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bagi mengembangkan sukan bermotor,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pemotoran Eksklusif yang turut dihadiri Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir di sini, semalam.

Menurut Ahmad Shabery, selain menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia, kemudahan yang ada di SIC perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang tersebut.

Jelasnya, Malaysia kini berada 10 tahun ke hadapan di dalam sukan pemotoran berbanding negara-negara lain di rantau ini.

''Sehubungan itu, kita mesti memikirkan yang orang lain sudah mengejar di belakang dan kita pula perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan kemudahan yang ada termasuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang ini,'' ujarnya.

Sementara itu, Mokhzani memberitahu, SIC yang telah pun bertapak di Sepang sejak 12 tahun lalu, tidak begitu mendapat perhatian atau pun sokongan daripada industri sukan pemotoran.

''Ini yang kita cuba hendak buat sekarang dan selalunya bila orang datang kepada KBS atau SIC atau Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) mereka datang untuk dapatkan sokongan berlumba.

''Tidak ada pula yang menawarkan diri untuk jadi mekanik atau kepakaran lain,'' tambahnya.

Justeru, beliau berkata, sekiranya institusi pendidikan itu dapat direalisasikan, maka, kemudahan litar yang ada boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.

Menurutnya, salah satu laluan yang lebih cepat ialah dengan mengadakan program berkembar dengan mana-mana institusi pendidikan luar negara.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger