Lotus Elise 2011 @ Geneva



Model dibangun dengan kerjasama Lotus, IDG dijangka keluar 2012

PROTON Holdings Bhd semalam melancarkan tiga kereta konsepnya, iaitu Emas, Emas Country serta Emas3, sebagai usaha jangka panjangnya menempa nama dan mengeluarkan kereta untuk pasaran dunia.

Kereta konsep dalam siri Emas atau 'Eco Mobility Advanced Solution' yang dibangunkannya dengan kerjasama anak syarikatnya, Lotus dan firma automotif Itali, Italdesign Giugiaro (IDG) itu dijangka dikeluarkan secara komersial pada 2012.

Ia dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengasas dan Penasihat Proton pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva Ke-80 di Pusat Konvensyen Geneva Palexpo, Geneva, Switzerland.

Bercakap kepada media selepas pelancaran itu, Dr Mahathir berkata, beliau berharap kereta konsep itu dapat dikeluarkan lebih awal daripada dijadualkan.

"Saya berharap pengeluaran dapat dilakukan dalam masa setahun ini, tetapi mereka (Proton) kata ia akan mengambil masa lebih setahun kerana banyak yang perlu dimuktamadkan terutama dari segi reka bentuk akhir," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir dan Pengerusi IDG, Giorgetto Giugiaro dan Pengerusi Bersama IDG, Fabrizio Giugiaro.

Terdahulu, Dr Mahathir turut menyaksikan model Lotus Elise yang diperbaharui dan Lotus Evora serta Lotus Evora 414E Hibrid.

Kereta konsep dalam siri Emas yang mesra alam sekitar itu dijangka memberi satu revolusi kepada segmen pasaran kereta tradisional.

Emas adalah kereta hatchback lima pintu dan empat tempat duduk untuk pemanduan yang selesa, manakala Emas Country mempunyai tiga pintu dengan lima tempat duduk.

Emas3 pula mempunyai tiga pintu dan 3+1 tempat duduk yang disasarkan bagi pemanduan di bandar.

Kereta konsep berkenaan dijana enjin hibrid 'plug-in' yang dibangunkan Lotus.

Sementara itu, Nadzmi berkata, Proton akan terus berusaha membangunkan pengetahuan, kemahiran dan teknologi baru yang akan menguntungkan pengguna.

Katanya, pengeluar kereta nasional itu juga akan terus meraih teknologi terkini daripada anak syarikatnya, Lotus dan kerjasamanya dengan IDG akan memperkukuhkan lagi kedudukan Proton dalam industri automotif global.

Syed Zainal pula berkata, projek kereta konsep siri Emas itu adalah strategi jangka panjang Proton untuk menepati standard automotif global seterusnya mengukuhkan kehadiran jenamanya pada peringkat dunia.

Beliau berkata, pelancaran kereta konsep itu adalah permulaan bagi perjalanan baru Proton dalam industri automotif selepas kira-kira 25 tahun terbabit dalam industri itu.

"Selepas 25 tahun, sudah tiba masanya bagi Proton berubah dan membuat kelainan kerana pasaran global sudah berubah. Era baru bagi Proton sudah bermula," katanya.
sumber-bharian.com.my / gambar autoblog










Share this article :

+ comments + 1 comments

Tanpa Nama
1 Mei 2010 10:46 PG

minat sgt ngn kete ni..

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger