Lotus Evora masuki Pasaran Malaysia


HETHEL (United Kingdom) 24 Feb. - Lotus Evora, yang dilancarkan bagi pasaran United Kingdom, akan memasuki pasaran Malaysia menjelang akhir bulan depan, kata Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir.

Beliau berkata, Proton sedang menunggu kumpulan baru kereta Lotus Evora sebelum 'kami bersedia bagi pelancaran'.

Walaupun menurutnya, syarikat itu belum memutuskan harga model itu, namun beliau tidak menafikan bahawa Lotus Evora berharga lebih tinggi daripada 50,000 pound (RM262,000) di United Kingdom sekarang.

"Ini disebabkan oleh struktur cukai Malaysia yang lebih tinggi daripada di U.K. Kami belum memutuskan harganya, kami masih membuat perkiraan. Kami cuba menjadikannya berdaya saing seperti dalam pasaran U.K.

"Kami masih berbincang dengan kerajaan selain mengkaji struktur harga," katanya pada satu sidang akhbar di ibu pejabat Lotus di sini, semalam.

Sidang akhbar itu diadakan sempena lawatan dua hari oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Lotus mulai Isnin.

Lotus Evora, yang pada mulanya dibangunkan di bawah projek yang diberi nama Project Eagle, dilancarkan pada British Motor Show pada Julai 2008.

Kereta itu lebih besar daripada model-model Lotus yang lain seperti Elise dan Exige.

Ditanya tentang rakan kongsi strategik yang disebutkan dalam ucapannya pada majlis makan malam pada Isnin lalu, Syed Zainal Abidin enggan menjelaskan lebih lanjut dan berkata masanya terlalu awal untuk membuat pengumuman.

"Perbincangan bukan sahaja melibatkan Volkswagen tetapi juga Mitsubishi dan Renault bagi mengkaji kerjasama dalam beberapa bidang, iaitu enjin dan komponen," katanya.

Terdahulu, Syed Zainal Abidin berkata, Proton telah menyenaraikan beberapa produk bagi lima tahun akan datang termasuk elektronik dan kuasa enjin.

"Kami sedang memajukan enjin campo turbo yang boleh didapati menjelang akhir tahun atau paling lewat menjelang awal tahun depan. Ini bakal menjadi ciri bagi semua kereta kami," katanya.

Selepas 25 tahun beroperasi, Syed Zainal Abidin berkata, Proton berhasrat menceburi arena antarabangsa dan Geneva Motor Show merupakan langkah pertama ke arah itu dan 'kami akan meneruskannya dari situ'.

Dr Mahathir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, banyak perubahan telah dibuat sejak lawatan terakhirnya ke Lotus kira-kira enam tahun lalu.

Beliau berkata, Lotus telah mencapai banyak kemajuan, baik dari segi prestasi sebenar mahupun idea yang dikemukakan oleh pengurusan.

"Saya telah melihat sebahagian daripada kemajuan teknologi yang telah mereka capai, dan seperti yang kita tahu, kereta yang saya pandu tadi, Evora, adalah daripada teknologi Lotus kerana kita berdepan dengan keperluan meningkatkan kuasa enjin.

"Jadi, ini soal sama ada kita tukar enjin atau naikkan taraf enjin. Lotus sebenarnya telah membantu menaikkan taraf enjin; ia sekarang sebagus 2,000cc," tegas beliau.

- BERNAMA

Share this article :

+ comments + 1 comments

Tanpa Nama
27 Mac 2010 11:21 PG

apakah harga kereta ini

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger