Pelincir khas bagi kereta Proton

sumber : Berita Harian


PROTON Holdings Bhd dan Petronas Lubricants International Sdn Bhd akan membangunkan minyak pelincir automotif berteknologi tinggi, khusus bagi kegunaan kereta Proton. Ini susulan pemeteraian perjanjian yang menyaksikan kedua-dua syarikat berkenaan akan bekerjasama untuk memanfaatkan rangkaian teknologi, kepakaran dan pasaran masing-masing di dalam dan luar negara.

Menerusi kerjasama itu, Petronas Lubricants turut dilantik sebagai rakan niaga eksklusif Proton untuk membekalkan semua minyak pelincir bagi kegunaan pengeluar peralatan tulen (OEM) kenderaan keluaran pengeluar kereta nasional itu. Seterusnya, Petronas Lubricants akan menyokong Proton dalam membangunkan minyak pelincir yang memenuhi spesifikasi dan keperluan kereta Proton.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kerjasama itu dijangka mampu meningkatkan lagi tahap kualiti enjin kereta keluaran syarikat itu. Katanya, menerusi kerjasama itu, Proton juga menawarkan platform latihan dan peluang pemasaran kepada Petronas Lubricants.
“Kedua-dua pihak juga berpeluang menikmati bekalan sumber tulen, produk teknikal berkualiti serta pembangunan berterusan untuk manfaat pelanggan Proton dan Petronas,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai perjanjian kerjasama teknikal dan komersial bagi membuka laluan untuk penyepaduan serta kerjasama perniagaan lebih besar dalam pasaran minyak pelincir automotif dan bahan bendalir aktif. Syed Zainal memeterai bagi pihak Proton manakala Petronas Lubricants diwakili Ketua Eksekutifnya, Aldino Bellazzini.

Majlis itu disaksikan Penasihat Proton dan Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Salleh; Ketua Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Mohamad Shukor Ibrahim dan Pengerusi Petronas Lubricants serta Naib Presiden Perniagaan Minyak Petronas, Md Arif Mahmood.

Sementara itu, Md Arif berkata, pihaknya akan memberikan bantuan dari segi penyelesaian khusus kepada Proton dalam mengurangkan kos pembuatan komponen berkaitan minyak pelincir. Katanya, usaha sama itu juga akan menyediakan landasan bagi kedua-dua pihak berkongsi keuntungan dalam perkhidmatan selepas jualan atau dalam segmen pasaran perkhidmatan servis kenderaan serta kerjasama lebih mantap dalam melaksanakan kempen promosi dan pasaran bersama.

“Apa yang lebih penting, usaha sama itu akan membolehkan akses terus ke pasaran bagi produk minyak pelincir berkualiti tinggi yang dihasilkan Petronas Lubricants menerusi rangkaian pengedaran bersepadu Proton,” katanya

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger