Kereta Nasional Buatan Indonesia



Timor S515i DOHC


Timor S515 SOHC


Reka bentuk seperti jentera Korea, enjin yang digunakan Timor adalah daripada siri B5 Mazda yang turut terdapat pada Mazda Familia dan Ford Laser.



INI adalah mobil nasional Indonesia. Semestinya jenama kenderaan ini agak asing bagi rakyat negara kita. Hakikatnya Timor ditubuhkan dengan mengambil konsep pengeluar dan pembuat negara pertama Malaysia iaitu Proton.

Timor atau nama penuhnya Teknologi Industri Mobil Rakyat dilancarkan pada tahun 1996 dengan model pertama iaitu S 515 SOHC.

Seterusnya disusuli dengan S 515i DOHC, model wagon SW 515i dan juga model edisi khas iaitu Sedan Timor Edisi Terhad.

Untuk pengetahuan anda, model LE tersebut mempunyai kit badan lebar yang direka oleh pihak PRODRIVE di Britain, berkuasa 120 hp dan dengan beberapa peralatan standard lain seperti sistem ekzos yang dipertingkatkan, kabel palam pencucuh Hurricane 9mm, palam pencucuh platinum Equim, ECU yang ditala semula, rim 16 inci Compomotive dengan tayar Dunlop D60A2 205/55, klac Daikin daripada bahan bukan asbestos dan tuil gear quick shift.

Bukan setakat itu sahaja, minyak enjin yang digunakan adalah Penzoil GT Performance Plus. Berbalik kepada Timor yang dipaparkan kali ini adalah milik saudara Rian Risky Putrantio, berusia 18 tahun dan baru sahaja tamat SMA atau di Malaysia sekolah menengah dan sedang menunggu keputusan peperiksaannya.

Model yang dimiliki oleh Rian adalah S 515 SOHC keluaran 1999 dan selain digunakan untuk ke sekolah juga telah diprojekkan dan digunakan untuk menyertai pertandingan autosaloon.

Kejayaan yang diperolehi oleh Rian Risky setakat ini agak membanggakan antaranya adalah The Most Extreme Gradation Paint [Auto Extreme 1 hingga 4 Disember 2004] dan The Hottest Indonesian Modified Car! [Auto Black Through 25 hingga 26 Februari 2006].

Modifikasi untuk S 515 ini ditonjolkan dengan jelas apabila badannya dikembangkan dengan gentian kaca selebar empat inci setengah di bahagian arca roda depan dan belakang dan kemudian dikuncupkan kembali dengan kemas pada bahagian lampu depan dan belakang.

Badan S 515 yang agak tirus kini kelihatan lebih gah dan kemas hasil dari pelebaran badan tersebut. Apabila menyertai pertandingan dan pameran automotif antara perkara yang mustahak adalah warna pada kenderaan.

Seperti juga di mana-mana autosaloon sama ada di Jepun, Australia ataupun Amerika kenderaan yang dipamerkan dicat oleh mereka yang terkenal.

Hasil yang semestinya sempurna dan mengagumkan dengan menggunakan jenama cat yang berkualiti. Begitu juga dengan kereta S 515 ini, warnanya adalah Lime Green to Yellow daripada Sherwin-Williams.

Warna Lime Green to Yellow seperti nama warnanya akan berubah mengikut keadaan cuaca atau dari sudut mana anda menyaksikannya.

Walaupun sudut luaran kereta-kereta modifikasi Indonesia adalah mewah namun agak berbeza dengan enjinnya. Barang di sana agak mahal dan half cut adalah perkara yang agak mustahil walaupun harga kenderaannya adalah rendah berbanding tempat kita.

Segala kuasa yang ada harus dicernakan bagi meraih kuasa untuk menarik roda dan badan yang bertambah beratnya.

Untuk itu, Rian telah menghantar keretanya ke bengkel kereta dan modifikasi enjin yang telah dilakukan adalah port and polish bagi melegakan sikit keadaan enjinnya.

Rian juga telah menggunakan kabel palam pencucuh 3.5 mm Hurricane dengan koil penyala MSD. Walaupun boleh dikatakan tiada lebihan ataupun tampungan minyak yang signifikan namun itu tidak menghalang Rian untuk menggunakan tangki perangkap minyak dari GREDDY.

Sistem ekzos pula menggunakan manifold 4-1 dengan peredam bunyi keluli tahan karat. Beralih kepada bahagian dalaman, kereta untuk autosaloon mestilah kemas dan menarik dan untuk itu, Rian telah mengkoordinasikan warna dalamannya kepada warna putih.

Set putih tersebut dibalut dengan kulit dan PVC putih yang terdiri daripada papan pemuka, ke empat kulit pintu, konsol gear dan juga lelangit bumbung.

Bagi membaca tekanan-tekanan dan bacaan dalam enjin, meter dari jenama Autogauge seperti tekanan minyak enjin, vakum, suhu minyak enjin telah dipasangkan manakala takometer dan shift light adalah dari jenama Autometer model Cobalt.

Untuk melambatkan pematian enjin, pemasa turbo GREDDY digunakan dan diletakkan di atas kolum stereng. Untuk mengharungi selekoh dan memastikan badan sentiasa dipeluk dengan kemas, kerusi bucket dari jenama SPARCO model Torino telah dipasangkan dan dipadankan dengan 4 point harness SPARCO replika dan diikatkan pada steel harness holder 200kg load pada bracket kerusi bucket nya. Untuk mengawal S 515 nya, Rian menggunakan stereng MOMO model Track. Tombol gear pula adalah dari jenama ISOTTA.

Sistem Hiburan-Dalam-Kereta Rian juga agak menarik seperti yang diperdengarkan di tingkat atas bangunan JMP Kota Surabaya sewaktu penggambaran ini. Unit utamanya ialah dari PIONEER model KEH P402, penukar cakera padat PIONEER CDX-P1280, sub-woofer Rockford Fosgate PunchZ bersaiz 12", Power LANZAR vibe 428 1000watts, pembesar suara mid range MOHAWK Red 62 dan juga kapasitor bank INTERSYS 1.5F.

Rian telah memasang rim Racing Hart CR, bersaiz 18 inci. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Nankang Ultra Sport bersaiz 215/35 dan semestinya radial 18 inci.

Sistem suspensinya telah direndahkan secara custom made tanpa peralatan aftermarket. Akhir sekali, seperti yang telah diterangkan pada awal artikel, Timor adalah kereta nasional Indonesia, tapi tahukah anda nama lain bagi Timor S 515 adalah Kia Sephia dengan spesifikasi enjin bersesaran 1.5 cc karburetor.

Selain dari Timor, terdapat sebuah lagi projek kereta nasional Indonesia iaitu M3 MALEO dengan kerjasama Millard Design and Orbital Engineering dari Australia. Walau bagaimanapun akibat sebab-sebab politik dan kejatuhan ekonomi serantau pada 1997 projek tersebut tidak menjadi.

Model Timor :

Timor S515 (SOHC)
Timor S515i (DOHC)
Timor SW516i (stationwagon)
Timor SL516i (limousine)



Share this article :

Catat Ulasan

 
www.azelery.com dahulu dikenali saluran07.blogspot.com
Copyright © 2007-2014 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Azelery Published by Shin Chan
Proudly powered by Blogger