Honda anjur pertandingan esei sekolah

PETALING JAYA 25 Mac – Honda Malaysia mengorak selangkah lagi dalam usahanya menyemai kesedaran mengenai alam sekitar dengan menganjurkan pertandingan mengarang esei dan gambar khusus untuk pelajar sekolah rendah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Atsushi Fujimoto berkata, usaha tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membina pemahaman mengenai pemuliharaan dan kemusnahan alam sekitar, terutamanya di kalangan pelajar sekolah rendah.

Katanya, pertandingan mengarang esei dan gambar itu yang bertema ‘Alam Sekitar dan Saya’, terbuka kepada pelajar sekolah rendah di Malaysia.

Para pelajar, ujarnya, digalakkan berkongsi idea mengenai kaedah menyelamatkan alam sekitar yang boleh mereka amalkan dalam kehidupan harian.

“Panjang esei itu di antara 400 hingga 800 patah perkataan, sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris dan khususnya mengenai alam sekitar dan kesan-kesannya terhadap haiwan.

“Setiap penyertaan esei mesti disertakan gambar bersaiz 4R dengan keterangan gambar mengenai aktiviti yang dilakukan oleh peserta dan anggota keluarga mereka bagi memulihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Fujimoto berkata, generasi muda sebagai pewaris perlu dididik pada usia muda supaya boleh mempelajari pentingnya memiliki keprihatinan terhadap alam sekitar.

“Pertandingan ini hanyalah satu daripada usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Honda Malaysia bagi menggalakkan generasi muda mempelajari dan memiliki kesedaran mengenai alam sekitar.

“Kami mahu menyemai dalam diri mereka suatu perasaan jati diri bahawa mereka juga memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar,” katanya.

Fujimoto berkata, Honda Malaysia telah menganjurkan ceramah dan syarahan di sekolah-sekolah rendah untuk berkongsi dengan para pelajar mengenai peri pentingnya pemuliharaan alam sekitar bagi mengelakkan kemusnahan menyeluruh haiwan terancam seperti badak sumbu Sumatera.

Hadiah-hadiah berjumlah RM40,000 disediakan untuk para pemenang pertandingan mengarang esei dan gambar.

Katanya, bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dan kesedaran serta pemahaman mengenai alam sekitar, sekolah-sekolah yang menghantar paling banyak penyertaan juga berpeluang menerima ganjaran.

Penyertaan esei dan gambar hendaklah sampai ke alamat : The Environment And I, Essay & Photo Contest, P.O. BOX 8850, Pejabat Pos Kelana Jaya, 46799, Petaling Jaya, Selangor pada atau sebelum 30 April ini, atau melayari laman web: www.honda.com.my/rhino

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger