PROTON AKAN MENGELUARKAN MODEL MPV TAHUN 2009



SELEPAS memperkenalkan Waja Campro 16 Premium (CPS) minggu lalu, Proton Holdings Bhd bulan depan akan melancarkan sebuah lagi model sedia ada yang diberikan evolusi baru.

Malah, Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, rakyat negara ini juga bakal menyaksikan pelancaran kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton menjelang awal tahun depan.

"Bulan depan, kita akan melancarkan sebuah lagi model sedia ada yang diperbaharui selepas Waja Campro 1.6 Premium CPS.

“Awal tahun depan pula Proton akan melancarkan model MPV. Tunggu dan lihatlah nanti," katanya.

Beliau menegaskan, kereta keluaran pengeluar kereta nasional itu kembali mendapat keyakinan rakyat Malaysia.

Ini, katanya dibuktikan daripada sambutan menggalakkan yang diterima bagi model Saga baru yang dilancarkan Proton pada 18 Januari lalu.
Beliau berkata, sejak pengumuman pelancarannya awal tahun ini, sebanyak 32,000 tempahan sudah diterima bagi model itu setakat ini.

"Jelas perubahan sudah pun berlaku dan kami memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu mengeluarkan kereta untuk rakyat kerana Saga adalah kereta untuk rakyat. Harganya murah dan berpatutan.

"Jumlah tempahan yang sudah diterima bagi Saga baru (sejak kira-kira enam minggu lalu itu) adalah lebih daripada separuh sasaran yang ditetapkan Proton untuk seluruh tahun ini, iaitu antara 50,000 hingga 60,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program sekolah angkat atau Pintar bagi meningkatkan pencapaian pendidikan di kalangan pelajar luar bandar di Sekolah Kebangsaan Paloh, Pintu Geng, di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Ghazali Abd Rahman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah terbabit, Amran Md Noor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Pasir Puteh.

Syed Zainal Abidin berkata, berikutan permintaan yang tinggi bagi Saga baru itu, pengeluarannya kini dibuat secara dua shif bagi memastikan pembeli menerima kereta masing-masing secepat mungkin.

"Kami akan memastikan mereka yang membuat tempahan bagi model itu mendapat kereta secepat mungkin," katanya sambil menambah di sebalik sambutan menggalakkan terhadap Saga, ia tidak menjejaskan jualan model lain Proton.

"Setakat ini ia tidak menjejaskan model lain. Kita berpuas hati dan ini saya rasa adalah titik permulaan kepada Proton, katanya.

Mengenai program Pintar itu, Syed Zainal Abidin berkata, selain SK Paloh di Kelantan, empat lagi sekolah angkat ialah di Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang dikendalikan Khazanah Nasional Bhd.

Sasaran projek itu yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan termasuk Proton adalah untuk meningkatkan kesedaran semua pihak khususnya ibu bapa mengenai pentingnya pendidikan.

"Proton sudah menyusun atur program ini selama setahun dengan peruntukan RM100,000 dalam usaha membantu pelajar miskin dan lemah dalam mata pelajaran teras, tetapi berpotensi untuk maju.

"Antara program yang dilaksanakan termasuk bimbingan khas kepada pelajar lemah, motivasi membabitkan kem cuti sekolah, menjadi tetamu Proton di Shah Alam serta membantu mengurangkan masalah berpunca pendapatan keluarga yang rendah," katanya.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger